Radovan Karadzic pulau perbicaraanKaradzic
BEKAS pemimpin Serb Bosnia, Radovan Karadzic memulaukan perbicaraan
jenayah kemanusiaan terhadapnya di sini yang dijadual bermula esok.
Kelmarin, Karadzic, 64, memberi alasan kononnya dia tidak diberikan
masa mencukupi untuk melakukan persediaan bagi membela diri dalam
perbicaraan tersebut.
"Saya ingin memaklumkan bahawa persediaan pembelaan saya bagi
perbicaraan ini yang dijadualkan pada 26 Oktober masih belum siap,"
katanya dalam sepucuk surat kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa di
Belanda bagi bekas Yugoslavia (ICTY).
"Justeru, saya tidak akan hadir pada tarikh tersebut," tambahnya.
Karadzic berdepan hukuman penjara seumur hidup berhubung 11
pertuduhan jenayah penghapusan etnik Bosnia dan Croatia selain jenayah
perang dan jenayah kemanusiaan ketika Perang Bosnia pada 1992-95.
Seramai 100,000 orang terbunuh manakala 2.2 juta yang lain menjadi pelarian akibat perang tersebut.
Ketika itu, Karadzic selaku Presiden Serb-Bosnia didakwa
bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan lebih 7,000 lelaki dan
kanak-kanak Islam di bandar Srebrenica, Bosnia pada 1995.
Karadzic yang ditangkap di Belgrade pada 21 Julai tahun lalu kini
berada dalam tahanan ICTY di sini, bagaimanapun beliau menafikan semua
dakwaan terhadapnya.
Sementara itu, pendakwaraya ICTY, Serge Brammertz memberitahu,
perbicaraan terhadap Karadzic dijangka mengambil masa antara dua hingga
tiga tahun setengah. - AFP