Misteri cuti pegawai penyiasatOleh TURMADZI Madun
berita@kosmo.com.my
SHAH ALAM - Polis Selangor terkejut dengan keputusan Hakim Mahkamah
Tinggi Shah Alam, Datuk Wira Mohtarudin Baki membebaskan tanpa
melepaskan tiga orang tertuduh yang didakwa dalam kes dadah selepas
dimaklumkan pegawai penyiasat kes itu tidak dapat hadir perbicaraan di
sini kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner
Nordin Kadir berkata, sebelum perbicaraan semua saksi di kalangan
anggota polis, kecuali pegawai penyiasat Inspektor Chong Voon Loong,
hadir di mahkamah menunggu giliran untuk memberi keterangan.
Malah, katanya, semua bahan bukti iaitu dadah yang dirampas telah dibawa ke mahkamah.
"Barang bukti yang gagal dibawa hanyalah sebuah beg yang digunakan ketiga-tiga suspek untuk menyimpan dadah yang dirampas.
"Beg tersebut disimpan oleh Voon Loong di dalam peti besi di pejabatnya," jelas beliau.
Dalam perbicaraan di mahkamah Tinggi di sini kelmarin, menurut
beliau, pegawai dari Jabatan kimia telah memberikan keterangan sebelum
diikuti keterangan saksi-saksi polis.
"Bagaimanapun, saksi-saksi polis terpinga-pinga apabila melihat
ketiga-tiga suspek bertempiaran melarikan diri dari kamar mahkamah
sebelum mereka dapat memberi keterangan," katanya.
Melihat ketiga-tiga tertuduh melarikan diri ekoran keputusan
Mohtarudin, saksi-saksi yang menunggu di luar kamar mahkamah mengejar
dan dapat menahan seorang daripada tertuduh.