Lakaran hodoh bantu polis BoliviaGAMBAR (kiri) menunjukkan lakaran
suspek yang menggelikan hati. Gambar (kanan) pihak media Bolivia
meletakkan gambar lakaran supek pada muka lelaki yang ditangkap polis.
LA PAZ - Gambar lakaran yang dianggap paling hodoh di dunia berjaya
membantu polis Bolivia menangkap seorang lelaki dikehendaki kerana kes
pembunuhan pemandu teksi, lapor sebuah akhbar semalam.
Pemandu teksi itu, Rafael Vargas dibunuh pada Mac lalu dan mayatnya ditemui mempunyai kesan 11 tikaman sebelum dibakar.
Beberapa pegawai polis kemudian membuat rayuan kepada orang ramai bagi mencari suspek pembunuh.
Seorang penduduk kemudian melukis satu gambar yang dipercayainya sebagai suspek pembunuh pemandu teksi itu.
Namun, lakaran itu dianggap seperti lukisan kanak-kanak berbanding satu bukti forensik.
Gambar yang dilukis itu mengandungi sepasang mata, bibir senget,
hidung berbentuk penyapu sampah, kening lurus, rambut seperti atap
bumbung dan tiada telinga.
Imej yang disiarkan oleh stesen televisyen Bolivia itu turut dipaparkan di laman
YouTube dan menjadi tontonan ramai pengguna Internet.
Walaupun gambar tersebut menggelikan hati, ia berjaya membantu polis
menangkap seorang lelaki yang menjadi suspek dalam kes pembunuhan itu.
Namun, ekoran undang-undang ketat Bolivia, wajah suspek tersebut
tidak disiarkan tetapi pihak media meletakkan gambar lakaran itu pada
muka lelaki yang ditangkap itu. - Agensi