Misteri gambar hantuKemunculan imej pelik pada hasil fotografi seperti bulatan
kabur atau ektoplasma banyak menimbulkan tanda tanya. Semakin ramai
percaya bahawa itu adalah jelmaan jin atau syaitan. MUNGKIN bagi yang lemah semangat, sebarang foto yang memberi idea
tentang kehadiran 'entiti' atau makhluk halus akan segera dikoyak,
dibakar atau dibuang. Namun, bagi sesetengah yang lain, ia bukan lagi
suatu perkara yang menimbulkan rasa panik atau takut.
BUKAN asap rokok atau muslihat
cahaya. Pergerakan rawak atau ektoplasma seperti ini dikatakan mewakili
sifat 'entiti' yang agresif.
Tidak cukup dengan menunjukkannya kepada orang lain, pengalaman
menangkap gambar itu dipanjangkan kepada bentuk perbincangan, sama ada
dari sudut rasional teknikal hinggalah kepada kesimpulan tentang alam
mistik dan paranormal.
Fenomena rakaman imej yang luar biasa ini menjadi semakin popular.
Malah, enjin carian Google di Internet juga memulangkan lebih 350,000
hasil apabila kata kunci 'tip merakamkan hantu dengan kamera'
dimasukkan.
"Jika diizinkan Allah, sesiapa sahaja tidak mustahil untuk mendapat
hasil rakaman foto sedemikian. Ia menjadi peringatan kepada manusia
tentang kejadian alam ghaib itu," terang Engku Ansaruddin Agus dari
Pusat Rawatan Komplimentari Yashfien di Kuala Lumpur.
Menurut Pakar Khidmat Runding dan Nasihat Spiritual itu, kelengkapan
perkakasan kamera moden hari ini lebih-lebih lagi yang mempunyai daya
prosesan megapiksel tinggi boleh 'menangkap' kehadiran makhluk jin atau
syaitan. Kamera dengan upaya tujuh megapiksel atau yang lebih tinggi
melebarkan kebarangkalian tersebut.
Dia yang mesra dengan panggilan Pak Engku sudi berkongsi dengan
Jurnal koleksi
gambar yang memaparkan imej seperti bebola cahaya kabur. Ada juga yang
berbentuk ektoplasma iaitu siri pergerakan rawak cahaya. Kebanyakannya
diambil pada waktu malam.
Pak Engku meyakini semua itu adalah jelmaan jin atau syaitan. Walau
bagaimanapun, dia terbuka pada penilaian sesiapa yang mahu
mengaitkannya dengan ralat teknikal, kekotoran pada lensa kamera atau
kesan cahaya.
"Silalah menilainya sendiri. Saya amat yakin kerana dua sebab.
Pertama, saya pernah mengambil peluang bertanyakan tentang gambar itu
kepada seseorang yang sedang dirasuk 'entiti', dan dia mengatakan
bahawa bebola cahaya itu adalah 'kawannya'.
"Kedua, saya sendiri pernah bereksperimen dengan mengambil gambar
'entiti' yang telah saya perangkap dalam botol, dan hasilnya tetap
sama," terang Pak Engku.
'Entiti' juga boleh terakam dalam bentuk lain seperti segi tiga,
pentagon, seperti bebola api ataupun yang berekor. Pak Engku
menjelaskan bahawa jika imej itu diteliti secara fokus dalam pembesaran
saiz yang berganda, tetap akan kelihatan formasi seperti gumpalan asap.
JELMAAN imej putih ini pernah dirujuk kepada Engku Ansaruddin bagi menjelaskan tentang kemungkinan kehadiran makhluk ghaib.
Berdasarkan pengalamannya, imej yang kabur berkemungkinan besar
menunjukkan bahawa 'entiti' itu tidak kuat, agresif atau berbahaya.
Imej rakaman yang berwarna merah, biru atau kuning pula menunjukkan
perbezaan tenaga dan kekuatan 'entiti' tersebut.
"Jin atau syaitan ini jarang menunjukkan rupa sebenar, namun
adakalanya ia 'lebih berani' dengan cuba menyerupai kejadian manusia.
Maka, muncullah pelbagai istilah nama-nama hantu seperti yang kita
maklum dalam masyarakat kita," katanya.
SEBUAH rumah banglo tinggal yang
dikatakan berhantu di Shah Alam, Selangor merakamkan ratusan 'entiti'
apabila gambar ini diambil.
Pak Engku menyimpulkan bahawa terdapat empat jenis manusia dan
kemungkinan hinggakan ia dapat melihat jin dan syaitan, sama ada dengan
upaya mata ataupun dengan bantuan peralatan seperti kamera.
"Pertama ialah orang yang memelihara atau bersekutu dengan jin.
Lazimnya, ia merujuk kepada mereka yang mewarisi ilmu hitam atau
syirik. Kedua, orang yang sakit akibat dirasuk 'entiti' iaitu jin
tersebut berada di posisi mata pesakit tersebut.
"Ketiga ialah bayi manakala keempat ialah jin itu sendiri berminat
untuk menunjukkan kejadiannya kepada orang yang mahu ia ganggu atau
goda," katanya.