Hantu lebuh rayaOleh FAIZAL NAZARUDDIN
faizal.nazaruddin@kosmo.com.my
MOHD. Fitri tidak menyedari ada
imej ‘lembaga’ berbaju merah di belakang isterinya di stesen minyak R
& R Gurun sehinggalah gambar ini dimuat turun semula semalam.
KANGAR – Seorang guru bahasa Arab, Mohd. Fitri Mohamad tidak dapat
melupakan keanehan yang beliau sekeluarga alami ketika bercuti selama
tiga hari ke Cameron Highlands dan Kuala Lumpur minggu lepas.
Sepanjang percutian itu, guru Sekolah Yayasan Islam Perlis, Kangar
itu mendakwa anak saudaranya yang berusia dua tahun yang menaiki kereta
Proton Wira yang dipandunya berperangai aneh apabila asyik menangis.
Tidak cukup dengan itu, Mohd. Fitri juga mendakwa keretanya terasa
begitu ‘berat’ dan beliau ternampak kelibat ‘lembaga’ semasa berhenti
di Padang Besar.
GAMBAR ini dirakamkan di stesen
minyak yang sama di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Gurun tidak lama
selepas imej ‘wanita berbaju merah’ itu kelihatan.
Namun, peristiwa paling mengejutkan mereka ialah kemunculan imej
‘lembaga’ dipercayai wanita berbaju merah yang dirakam dalam sekeping
gambar di sebuah stesen minyak di Hentian Rehat & Rawat (R & R)
Gurun arah selatan sewaktu mereka memulakan percutian pada Jumaat lalu.
Mohd. Fitri, 29, mengakui semasa mengambil gambar isterinya,
Shatini Shahidan, 28, yang berdiri di sebelah kereta mereka pada pukul
5.30 pagi itu, tiada sesiapa dilihat berjalan di belakang Shatini.
Lembaga itu muncul dengan wajahnya kabur dan berambut panjang.
“Sepanjang perjalanan selepas itu, kereta saya terasa berat semacam
sehingga kos minyak dari Kuala Lumpur balik Perlis mencecah RM100
sedangkan biasanya dalam lingkungan RM60 sahaja,” katanya.
Sewaktu dia menurunkan abangnya di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar
sebaik habis cuti pada Isnin lalu, Mohd. Fitri mendakwa ternampak
kelibat satu lembaga keluar dari keretanya.
|
MOHD. FITRI
|
“Saya sempat membaca ayat Kursi bagi memastikan kami tidak terus diganggu,’’ ujarnya.
Peristiwa itu kemudian dilupakan sehinggalah dia melihat semula
gambar yang dirakam di stesen minyak itu menggunakan kamera digital
Nikon milik majikan isterinya.
“Berdasarkan gambar itu dan pengalaman saya melihat kelibatnya, ia
amat mengerikan iaitu seakan-akan muka beruk dengan pipi lebar dan
mulut muncung panjang serta berambut panjang,” ujarnya.
Sementara itu, Shatini yang merupakan seorang kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memberitahu, ketika gambar itu diambil, dia tidak berasa sesuatu yang aneh.
Kejadian yang mereka alami itu berlaku hanya kira-kira 20 minit
perjalanan dari lokasi dua kemalangan jalan raya yang berlaku pada
tahun ini di Sungai Petani.
Kemalangan itu membabitkan seorang pemandu kereta Perodua Kancil
yang cedera parah pada 5 Februari. Ia diikuti dengan insiden seorang
pemandu lori serta kelindannya cedera apabila kenderaan mereka terbabas
di Kilometer 105, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Sungai Petani pada 19
April.
Dalam kejadian tersebut, mangsa-mangsa mendakwa cuba mengelak
‘wanita berkebaya merah’ yang dilihat melintas lebuh raya di situ.