Gadis 17 tahun jadi doktor
|
DR. RIANA
|
YOGYAKARTA - Seorang remaja kelahiran Banda Aceh, Riana Helmi
menjadi doktor pada usia 17 tahun 11 bulan, lapor sebuah akhbar semalam.
Dr. Riana yang bertubuh kecil berjaya menamatkan pengajian selama
tiga tahun enam bulan dengan memperoleh purata nilai gred kumulatif
3.67.
"Ya, Alhamdulillah, saya menjadi siswazah perubatan termuda," kata gadis itu di Universiti Gadjah Mada, di sini.
Dr. Riana lahir di Banda Aceh, Nanggroe, Aceh Darussalam pada 22 Mac
1991 dan dia mendaftar memasuki fakulti perubatan universiti itu pada
September 2005 menerusi saluran bakat istimewa.
Ketika itu, dia berumur 14 tahun.
Gadis itu tidak menyembunyikan kesukarannya ketika menyiapkan tugasan ketika belajar bersama pelajar yang lebih tua daripadanya.
"Kesulitan kerana tugas yang banyak tetapi syukurlah semua itu dapat
saya atasi," katanya yang belajar mengenai kanser payu dara.
Dr. Riana bercita-cita untuk melanjutkan pengajiannya dengan menjadi doktor pakar.
Sejak kecil, dia dikenali kerana memiliki kecerdasan yang istimewa
ketika belajar di sekolah menengah di Sukabumi, Jawa Barat dengan
melompat kelas.
Dia akan menjadi doktor perubatan sepenuh masa selepas dua tahun menjalani latihan.
"Saya sama seperti pelajar-pelajar lain yang tidak menumpukan sepenuh masa hanya dengan belajar," katanya. - Agensi