ViVA Elite lebih sportyOleh JOHANNA A. SOBREY
johanna.sobrey@kosmo.com.my
KAKITANGAN Perodua bergambar bersama ViVA Elite pada majlis pelancaran model terbaru itu di Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua),
memperkenalkan model terbaru ViVA, ViVA Elite yang lebih sporty dan
memiliki ciri-ciri yang diperbaharui serta rekaan lebih kontemporari.
Pengarah Urusan Perodua, Datuk Syed Abdull Hafiz Syed Abu Bakar
berkata, model ViVA Elite itu terdiri daripada tiga varian iaitu Elite
transmisi manual (MT), Elite transmisi automatik (AT) dan Elite EZi
yang masing-masing ditawarkan pada harga RM37,900 hingga RM44,900
seunit.
"ViVA Elite menjanjikan kelebihan kepada pembeli yang mana ia akan
memberikan penjimatan minyak, kos penyelenggaraan yang berpatutan serta
memenuhi keselesaan dan keperluan kehidupan moden pada masa sekarang,"
katanya semasa berucap pada majlis pelancaran model terbaru itu di sini
semalam.
Berbeza dengan empat varian ViVA lain di pasaran masa sekarang, ViVA
Elite memperlihatkan rekaan hadapan baru dengan lampu kabut (fog lamp),
rim aloi, fabrik tempat duduk, pemegang pintu krom, audio digital
dengan keupayaan MP3 dan format WMA yang baru serta tingkap yang
dilengkapi perlindungan sinar lembayung (UV).
"ViVA Elite yang lebih sporty ini dijangka menarik minat golongan
profesional muda dan keluarga baru yang mahu memaparkan imej yang
berbeza," kata beliau sambil menambah Perodua menyasarkan jualan 2,600
unit model terbaru itu setiap bulan.
Dapatkan berita selanjutnya dalam akhbar Kosmo!.