Kereta lumba berkuasa coklat diciptaGAMBAR menunjukkan kereta lumba berkuasa coklat yang berjaya dihasilkan oleh Universiti Warwick, England.
LONDON - Sebuah kereta lumba berkuasa coklat yang sebahagian
badannya dibina daripada bahan buangan dijadualkan menyertai perlumbaan
sulung di sebuah litar di Britain pada bulan depan, lapor sebuah akhbar
semalam.
Jentera yang diberi nama Worldfirst itu dipercayai kereta lumba
paling mesra alam di dunia tetapi ia mampu mencapai kelajuan maksimum
216 kilometer sejam di Litar Brands Hatch, England.
Dibina dengan menggunakan casis kereta kitar semula, botol plastik,
serpihan kapal terbang manakala stereng kereta lumba Formula 3 itu
dihasilkan daripada serat lobak merah.
Bahan api kereta itu pula dijana menggunakan biodiesel daripada coklat dan wain basi.
Walaupun dibina dengan menggunakan bahan kitar semula dan murah,
kereta lumba prototaip oleh Universiti Warwick itu mampu memecut 100
kilometer sejam dalam masa kurang 2.5 saat.
Ketua projek tersebut, Dr. Kerry Kirwan berkata, Worldfirst adalah
bukti kereta mesra alam tidak membosankan seperti tanggapan sesetengah
pihak.
"Ia kereta pertama yang dibina daripada bahan kitar semula dan asli
tetapi memiliki prestasi dan penampilan seperti kereta lumba Formula
3," katanya. - Agensi