Roniza tabah besarkan lima adikOleh ROSLI HASSAN
rosli@kosmo.com.my
RONIZA (tengah) bersama lima
adiknya Norhidayah (dari kanan), Noramira, Roniza, Mohd. Taufik Izwan,
Noramira dan Norshahira mencuba baju baru di Kampung Tedong, Serkam,
Melaka semalam.
JASIN - Tujuh tahun lalu, ketika Roniza Noh berusia 15 tahun dia
telah menerima dugaan paling besar dalam hidupnya apabila dia bersama
kakaknya, Rohani, 23, terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ibu kepada
lima adik mereka selepas kematian ibu.
Nasibnya bertambah malang apabila bapa mereka, Noh Mal pula
meninggal dunia akibat penyakit tibi pada 2007 dan menjadikan mereka
tujuh beradik yatim piatu.
Kini, Roniza, 22, terpaksa pula bertindak sebagai ibu dan bapa
kepada adik-adiknya apabila kakaknya, Rohani mendirikan rumah tangga
kira-kira setahun lalu.
Setelah bapanya meninggal dunia, Roniza dan adik-beradiknya terpaksa
menumpang kasih dengan ibu saudara, Pauziah Abd. Rahman, 31, di Kampung
Tedong, Serkam di sini.
Kisah sedih tujuh beradik itu, Rohani, Roniza, Norazlina, 21,
Noramira, 17, Norshahira, 13, Norhidayah, 10, dan Mohd. Taufik Izwan,
8, bermula setelah ibu mereka, Sharifah Abd. Rahman meninggal dunia
akibat diserang kanser rahim pada 2002.
Roniza berkata, ketika ibunya meninggal dunia, Norhidayah dan Mohd. Taufik masing-masing hanya berusia dua dan setahun.
Menurutnya, walaupun menetap bersama neneknya ketika itu,
tanggungjawab menjaga adik-adik yang masih kecil masih perlu dipikul
dia dan kakaknya, Rohani memandangkan usia neneknya yang telah lanjut.