'Wali termulia' curi tongkat mimbar - Sasaran kumpul 200 tongkat untuk capai darjah keimananOleh MANIRAH OTHMAN
manirah.othman@kosmo.com.my
TONGKAT mimbar di Masjid Haji Ahmad Ibrahim, di Marang,
Terengganu ini juga dicuri untuk tujuan mencapai darjah keimanan.
|
KANAN: Sebahagian daripada 23 batang tongkat mimbar curi yang yang ditemui dalam rumah seorang warga emas di Marang semalam.
|
MARANG - Misteri kehilangan 23 batang tongkat mimbar milik beberapa
masjid di daerah ini sepanjang Ramadan lalu akhirnya terjawab.
Rupa-rupanya, kesemua tongkat itu dicuri oleh seorang warga emas
berumur 55 tahun yang mendakwa berbuat demikian untuk meningkatkan
'darjah keimanannya'.
Malah, lelaki itu mendakwa menerima arahan daripada suara ghaib yang
memintanya mencuri sebanyak 200 batang tongkat mimbar masjid bagi
membolehkannya mencapai darjah keimanan yang dihajatkan.
Menggelarkan dirinya 'wali termulia', lelaki itu mengaku masuk ke
masjid-masjid berkenaan sambil berpura-pura mahu bersembahyang sebelum
membalut tongkat tersebut menggunakan serban yang dipakainya sebelum
melarikan diri.
Namun, hasrat lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk
mengumpul 200 batang tongkat tersebut tidak kesampaian apabila dicekup
polis kira-kira pukul 5.30 petang kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd.
Fauzi Abduri berkata, lelaki itu ditahan apabila sekumpulan anggota
polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Marang menyerbu rumah suspek di
Kampung Rhu Rendang di sini selepas mendapat maklumat daripada orang
ramai.
"Hasil serbuan itu, polis berjaya menahan lelaki berkenaan dan
menemui 23 batang tongkat mimbar masjid di rumah kedai yang didiaminya.
"Akhirnya suspek mengaku mencuri tongkat di beberapa buah masjid
antaranya Masjid Haji Ahmad Ibrahim, Masjid Kelulut dan Masjid Kijing
di Marang," katanya ketika dihubungi semalam.
Mohd. Fauzi memberitahu, ketika serbuan, lelaki itu tidak melawan
tetapi cuba menyembunyikan sebatang tongkat dibalut dengan sejadah
hijau yang dipercayai paling disayanginya.