Ayat al-Quran pada kulit bayiSEBAHAGIAN ayat al-Quran pada kulit Ali.
MOSCOW - Pakar-pakar perubatan di Rusia bingung berikutan penemuan
ayat-ayat suci al-Quran dan Arab pada kulit seorang bayi berusia
sembilan bulan di Dagestan, Rusia, lapor sebuah akhbar semalam.
Ayat-ayat itu muncul pada belakang, tangan, kaki dan perut Ali
Yakubov pada setiap malam Isnin dan Jumaat sebelum hilang tetapi
diganti dengan beberapa ayat al-Quran baru dua kali seminggu.
Pakar-pakar perubatan Rusia menyatakan, mereka tidak tahu bagaimana
fenomena itu boleh berlaku selepas perkataan Allah mula muncul pada
dagu bayi tersebut ketika dia berusia beberapa minggu.
MADINA mendukung anaknya, Ali.
Namun, ketika mengulas mengenainya, pakar-pakar perubatan dan
keluarga bayi itu mengaku bahawa ayat-ayat suci itu menjelma sendiri
pada badan Ali dan bukan ditulis oleh manusia.
"Ali akan berasa kurang sihat manakala suhu badannya meningkat
kepada 40 darjah Celsius setiap kali ia berlaku menyebabkan dia
menangis," kata ibunya Madina Yagubova.
Kini, tempat Ali dilahirkan iaitu di Kampung Red Oktober, Dagestan menjadi tumpuan orang ramai yang mahu melihat keanehan itu.
SEPOTONG ayat al-Quran pada peha Ali.
Paparan mengenai kejadian aneh di Dagestan, wilayah selatan Rusia
yang menjadi sasaran pertempuran antara tentera Rusia dengan
pejuang-pejuang Islam itu turut dipaparkan di laman perkongsian video
YouTube.
"Ali merupakan tanda kebesaran Tuhan. Kelahirannya di Dagestan bagi
menyedarkan penduduknya supaya bersatu," kata seorang ahli parlimen di
wilayah itu, Akhmedpasha Amiralaev. - Agensi