Bush dapat RM340,250
|
GAMBAR fail menunjukkan Bush (kiri) bersama bapanya, George Bush sebelum satu perlawanan bola sepak Amerika bermula di Stadium Reliant, Houston pada Ahad lalu.
|
AUSTIN - Selepas sembilan bulan menyepi tanpa khabar berita, bekas
presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush kembali mewarnai
kehidupan rakyat AS dengan peranan berbeza iaitu sebagai seorang penceramah motivasi, lapor sebuah akhbar semalam.
Bekas presiden itu menandatangani kontrak bersama sebuah agensi
penceramah utama AS, Washington Speakers Bureau yang turut disertai
bekas perdana menteri Britain, Tony Blair dan bekas calon naib presiden
AS, Sarah Palin.
Bush dibayar lumayan iaitu hampir AS$100,000 (RM340,250) untuk menyampaikan ceramah motivasi bertajuk
Get Motivated selama 28 minit di hadapan 15,000 orang di sebuah stadium di Texas malam Isnin lepas.
Namun, kebanyakan penonton bosan dan kecewa apabila cerita paling
menarik yang disampaikan Bush cuma tentang dia mengutip sendiri najis
anjing miliknya ketika membawa haiwan itu bersiar-siar berhampiran
rumahnya di Dallas.
Pada masa itu, kata Bush, beliau sedar bahawa kehidupannya selepas bersara telah banyak berubah.
Semasa berucap, Bush langsung tidak tersasul atau tersilap menyebut
perkataan seperti yang kerap berlaku ketika menjadi Presiden AS.
Namun, kesilapan tersebut dan keputusan beliau untuk menyerang dan
menakluk Iraq pada 2003 telah menyebabkan Bush menjadi amat terkenal.
Selain menjadi penceramah motivasi, Bush juga sedang menyiapkan
sebuah buku mengenai 12 keputusan paling sukar yang pernah dibuat
ketika beliau mentadbir AS. - Agensi