'Kuda belang' zoo Gaza Harga kuda belang yang sangat mahal menyebabkan pihak Zoo
Happy Land di Gaza terpaksa mengecat keldai untuk menjadi hiburan
kepada para pengunjungnya.DUA ekor kuda belang tiruan yang terdapat di Zoo Happy Land Gaza menjadi tarikan kepada para pengunjung terutama kanak-kanak.
DARI jauh kelihatan dua ekor haiwan berbelang putih dan hitam
mendiami sebuah sangkar setinggi kira-kira dua meter. Bagi sesiapa yang
kali pertama melihatnya, pasti menyangka haiwan itu adalah kuda belang.
Namun jika melihatnya lebih dekat, barulah anda akan perasan bahawa
ia bukan kuda belang, sebaliknya haiwan yang sering dikenali sebagai
dungu atau bodoh iaitu keldai.
Itulah situasi yang berlaku di Zoo Happy Land di Gaza yang menjadi
tarikan penduduk tempatan. Mereka berjaya menghasilkan kuda belang
daripada seekor keldai.
Dua ekor haiwan istimewa itu menjadi simbol kehidupan kepada
penduduk Gaza yang sentiasa berada di bawah kepungan Israel selain
dianggap satu jenaka bagi sesetengah pihak.
"'Kuda belang' itu merupakan keluaran asli tempatan. Kami mengambil
dua ekor keldai dan melukis belang di atas kulit mereka," kata Pengarah
Zoo Happy Land, Mahmud Barghut sambil tersenyum lebar.
Operasi khas itu mengambil masa dua hari dan melibatkan penggunaan
pita pelekat dan rambut berwarna dari Perancis di mana Barghut
mengatakan ia hasil terbaik untuk kerja tersebut.
Unik
Apabila dikerumuni pelawat, dua haiwan unik tersebut hanya mampu merenung sayu ke arah pengunjung dari kandang yang didiami.
"Kami tidak mampu membeli kuda belang yang sebenar. Oleh itu, inilah cara terbaik untuk mendapatkannya," tambah Barghut lagi.
Sejak kerajaan Hamas memegang tampuk kekuasaan di Tebing Gaza pada tahun 2007, rakyat
Palestin terpaksa berada di bawah kepungan di mana Israel dan Mesir
hanya membenarkan bekalan asas seperti makanan dibawa masuk.
Sejak itu, ratusan terowong penyeludupan telah dibina di bawah
sempadan dengan Mesir untuk membawa pelbagai barangan daripada senjata
kepada kereta, petrol dan permainan.
Bagaimanapun, terowong tersebut menelan belanja yang mahal dan
Israel menjadikan ia lebih teruk apabila bertindak mengebom terowong
penyeludupan itu baru-baru ini.
KEBANYAKAN haiwan di Zoo Happy Land tidak mendapat perhatian sewajar kerana kekurangan dana.
Malah, seekor singa dan dua burung unta yang ada di zoo tersebut
dibawa masuk menerusi terowong penyeludupan itu ketika haiwan tersebut
masih kecil lagi, tetapi kuda belang dilarang.
"Ia boleh menyebabkan kita mengeluarkan belanja sebanyak AS$30,000
(RM102,825) untuk mendapatkan seekor kuda belang asli. Tetapi, seekor
keldai boleh diperoleh pada harga AS$700 (RM2,399) sahaja.
Penyeludupan haiwan liar ke Gaza menarik perhatian masyarakat
antarabangsa pada Mac 2007 apabila pegawai Kesatuan Eropah (EU) yang
memantau sempadan Rafah dengan Mesir ketika itu menangkap seorang
wanita Palestin yang cuba menyeludup tiga ekor buaya hidup.
Reptilia kecil itu masing-masing berukuran 40 sentimeter panjang,
ditemui terikat di bawah lapisan jubah longgar yang dipakai wanita
berkenaan.
Apabila disoal, wanita tersebut memberitahu pengawal sempadan bahawa dia mahu menjual haiwan itu kepada pihak zoo di Gaza.
Sumber hiburan
Di dalam wilayah yang memiliki kira-kira 1.5 juta penduduk,
kekurangan sumber hiburan membuatkan zoo yang terletak di pinggir
Bandar Gaza itu menjadi amat popular.
"Tiada apa di sini melainkan zoo atau pantai. Hanya inilah yang
dapat menghiburkan penduduk di bandar ini," ungkap Barghut dalam nada
perlahan.
Namun, bagi pengunjung dari luar mereka mungkin mendapati Zoo Happy
Land tidak sepadan dengan namanya kerana ia dianggap satu kawasan yang
amat menyedihkan.
Selain daripada dua ekor 'kuda belang' tiruan, singa dan dua ekor
burung unta, hanya terdapat unta dan beberapa ekor burung di dalam zoo
tersebut.
Sangkar kurungan juga amat kecil dan makanan yang disediakan untuk
kesemua haiwan terpaksa dicatu. Singa akan diberi makan sepuluh
kilogram daging setiap hari di mana jumlah tersebut kurang separuh
daripada amaun yang sepatutnya.
Situasi itu menyebabkan haiwan-haiwan di zoo tersebut sering sakit dan ubat yang diperlukan sukar diperoleh.
"Jika terdapat kumpulan perlindungan haiwan di sini, sudah pasti
mereka akan menangkap kami kerana menganiaya haiwan. Tetapi percayalah,
saya sendiri sering memberitahu diri saya bahawa adalah menjadi satu
dosa jika tidak menjaga haiwan ini dengan sebaiknya. Apa pun, saya cuba
lakukan yang terbaik," tutur lelaki itu lagi.
HANYA seekor singa terdapat di Zoo Happy Land di Gaza.
Sepatutnya terdapat beberapa lagi haiwan di Zoo Happy Land termasuk
harimau bintang dan monyet, tetapi mereka terbunuh sewaktu serangan
tentera Israel awal tahun ini.
"Kebanyakan haiwan itu mati kerana kehausan dan kelaparan. Untuk
tempoh tiga minggu, kami tidak mampu mengendalikan zoo. Malah, kereta
kebal Israel turut diletakkan di hadapan pintu masuk zoo," imbasnya.
Barghut mengakui sayangkan zoo mini yang dibina sejak setahun lalu,
namun selepas mengeluarkan semua wang untuk menjayakannya, dia kini
sudah berputus asa dan mengambil keputusan untuk menjual taman haiwan
itu.
"Saya tiada wang lagi untuk menguruskannya. Ia tidak memberi pulangan langsung kepada saya."
Disebabkan kebanyakan penduduk Gaza miskin dan berpendapatan rendah,
Barghut terpaksa mengekalkan bayaran masuk pada harga RM1 untuk setiap
kanak-kanak.
"Zoo ini amat bermakna buat kanak-kanak. Apabila mereka datang ke
sini, mereka gembira dan berseronok menyaksikan semua haiwan yang ada.
Mereka mahu melihat singa dan kuda belang yang dianggap haiwan sebenar.
Tetapi, bagi Yara al-Masri yang berusia empat tahun, dia mengetahui
kebenarannya. Katanya: "Saya tahu ia bukan kuda belang sebenar, tetapi
ia keldai yang cantik." - AFP