White House sambut perayaan HalloweenBARACK OBAMA dan Michelle Obama mengedarkan gula-gula serta biskut pada majlis Halloween di White House, Washington kelmarin.
WASHINGTON - Pekarangan White House bermandi cahaya tanglung buah
labu, patung kecil hantu dan jembalang sempena sambutan perayaan
Halloween kediaman rasmi presiden Amerika Syarikat (AS) itu kelmarin.
Ketibaan Halloween tahun ini adalah yang pertama buat Barack Obama
sebagai Presiden AS yang menyaksikan beliau memberikan gula-gula dan
manisan kepada kira-kira 2,000 kanak-kanak dari 11 buah sekolah di
sekitar White House.
Mereka mengunjungi White House dengan memakai beraneka kostum hantu.
Isteri Obama, Michelle turut memakai kostum heroin komik popular,
Cat Woman manakala Presiden AS itu lebih konservatif apabila berpakaian
kemas ketika mereka menyambut tetamu-tetamu kecil itu.
"Mereka amat comel," kata isteri Obama, Michelle.
"Ya, mereka comel begitu juga isteri saya yang kelihatan cantik sebagai Cat Woman," tambah suaminya.
Halloween kali ini juga menyaksikan anggota-anggota kabinet Obama turut serta mempamerkan pelbagai watak dan karakter.
Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Susan Rice
menyeleweng daripada peranan seriusnya untuk muncul sebagai Goofy iaitu
watak popular kartun Walt Disney, namun, jurucakap White House, Robert
Gibbs memilih tema seram apabila menyarung kostum watak jahat filem
Star Wars, Darth Vader.
Halloween yang jatuh pada 31 Oktober setiap tahun di AS, merupakan
hari ketika hantu dan jembalang merayau ke dunia menurut kepercayaan
kuno. - AFP