Ada 'tangan ghaib' di sebalik penahananOleh MOHD. TURMADZI MADUN, WAZIHA WAHID,
MEGAT RAMLI MEGAT RAOF, HISHAM IDRIS, NORHAYATI YAHYA, JUNHAIRI ALYASA,
MOHD. MARTIN KAHAR dan SUHANA VERU
berita@kosmo.com.my
MOHD. ASRI (kiri) bersama
peguamnya, Azmi Mohd. Rais (kanan) dan Zulkifli Che Yong (dua dari
kanan) menunjukkan surat bon jaminan tanpa cagaran JAIS di Mahkamah
Rendah Syariah Gombak Timur, Gombak semalam.
KUALA LUMPUR - Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin
tidak menolak kemungkinan ada 'tangan-tangan ghaib' di sebalik
penahanannya dengan menggunakan alasan memberi kuliah agama tanpa
tauliah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kelmarin.
Sambil menyifatkan kejadian itu sebagai 'penahanan terpilih', beliau
juga mempersoalkan tindakan jabatan agama negeri itu memandangkan
setiap bekas mufti termasuk dirinya bebas memberikan ceramah agama di
mana-mana sahaja.
"Ramai lagi individu yang berceramah namun tidak ditahan serta
didakwa, mungkin ini merupakan 'penangkapan terpilih'. Saya percaya ada
unsur 'tangan ghaib' tetapi saya tidak tahu siapa," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan
dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk
Jamil Khir Baharom di sini semalam.
Menurut Mohd. Asri, penahanannya di sebuah rumah banglo di Taman Sri
Ukay, Hulu Klang itu perlu dijadikan titik tolak untuk perubahan ruang
kepada kebebasan memberi ceramah.
"Apabila ada banyak akta, ia bukan sahaja tidak membuka ruang untuk
bebas memberi pandangan malah akan menghalang perkara-perkara yang
baik," jelasnya.