Misteri batu bergerak di gurun Amerika SyarikatGAMBAR menunjukkan sebongkah batu yang meninggalkan jejak laluannya di Taman Negara Death Valley, Amerika Syarikat.
LOS ANGELES - Beberapa batu besar ditemui saintis-saintis Amerika
Syarikat (AS) telah bergerak di padang pasir Taman Negara Death Valley,
lapor sebuah akhbar semalam.
Batu-batu itu yang ada mencecah sehingga 108 kilogram mencetuskan
kebingungan di kalangan penyelidik kerana ia bergerak walaupun suhu
panas setinggi 50 darjah Celsius.
Mereka mendapati, batu-batu di gurun yang terkenal di California itu
dipercayai mampu 'mengembara' sejauh 320 meter setahun dan meninggalkan
jejak laluan.
Saintis-saintis negara itu percaya, fenomena aneh tersebut
disebabkan oleh keadaan cuaca spesifik yang datang bersama dengan
tiupan angin kencang selaju 145 kilometer sejam.
Ia dipercayai berlaku akibat pembentukan ais pada waktu malam dan
lapisan nipis tanah liat basah di permukaan gurun itu yang membantu
menolak batu berat tersebut ke satu arah tertentu.
Jurugambar Mike Byrne, 40, mengambil masa bertahun-tahun untuk
merakamkan foto-foto misteri pergerakan batu berat itu yang disifatkan
sebagai kejadian amat pelik.
Dia berkata: "Beberapa batu itu mempunyai berat seperti seorang manusia.
"Adalah sesuatu yang amat ganjil untuk berimaginasi bahawa ia bergolek di gurun seperti ini.
"Batu itu bergolek di atas tanah dan saya tidak percaya terdapat seseorang yang melakukannya." - Agensi