Menara tertinggi dunia Burj Dubai ditutup ORANG ramai beratur semasa
memulangkan semula tiket untuk mendapatkan wang mereka di kaunter masuk
selepas menara pemandangan bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa,
Dubai ditutup semalam.
DUBAI - Pemilik Burj Khalifa semalam menyatakan ruang tempat melihat
pemandangan di bangunan tertinggi di dunia itu di sini telah ditutup
semalam.
Penutupan itu menyebabkan pelawat-pelawat berasa kecewa sekali gus
menjejaskan reputasi bangunan berkenaan sebulan selepas ia dibuka.
Bangunan setinggi 828 meter itu diharapkan akan dapat membantu
meningkatkan industri pelancongan di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Sejak beberapa minggu lalu, ribuan pelancong beratur untuk membeli
tiket lebih awal bagi melihat pemandangan dari bangunan tertinggi itu.
Tiket untuk menyaksikan pemandangan dari bangunan bernilai AS$1.5 bilion (RM5.15 bilion) itu berharga lebih AS$27 (RM93).
Kini kebanyakan pelancong seperti Wayne Boyes dari manchester,
England terpaksa beratur untuk mendapatkan semula wangnya semasa
memulangkan tiket kerana ruang pemandangan tersebut ditutup.
|
GAMBAR fail menunjukkan seorang wartawan melihat pemandangan dari bangunan Burj Khalifa.
|
"Ia amat mengecewakan," katanya yang berumur 40 tahun semalam.
"Bangunan tertinggi dunia itu merupakan punca saya datang ke sini," tambahnya.
Punca penutupan ruang untuk melihat pemandangan itu tidak diketahui.
Dalam satu kenyataan, pemilik bangunan itu, Emaar Properties
menyalahkan penutupan tersebut dibuat kerana bilangan pelancong yang
ramai.
Namun, ia kemudian menyatakan punca sebenar ialah kerana masalah elektrik.
"Isu teknikal berkaitan dengan tenaga elektrik kini sedang dibaik
pulih oleh kontraktor utama dan subkontraktor manakala orang awam akan
diberitahu selepas kerja-kerja itu selesai dilakukan," kata syarikat
berkenaan. - AP