Bom jangka meletup Oleh Muhd Izawan Baharin dan Syarifah Dayana Syed Bakri
am@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Isteri kepada penceramah bebas, Akhil Hayy, Maizawati
Zainal mengibaratkan dirinya seperti ‘bom jangka’ berhubung gosip
suaminya dengan penyanyi berirama padang pasir, Waheeda.
Ketika
ditemubual dalam rancangan Wanita Hari Ini (WHI) terbitan TV3 di sini,
semalam, dia mengaku kini tidak mampu lagi menahan sabar hingga sanggup
meluahkan ‘pemberontakannya’ melalui media dengan kemunculan pertama,
Ahad lalu.
Maizawati menjelaskan bahawa kemunculannya di
televisyen dan media cetak sebagai cara untuk menamatkan kekusutan yang
berlaku.
“Tindakan saya membuat pengakuan di media bukan untuk
memburukkan sesiapa, sebaliknya menutup semua cerita yang didengar
dengan keputusan muktamad.
“Tidak perlu saya menjaja cerita peribadi kerana saya sudah membuat
keputusan dan segalanya akan diputuskan di mahkamah nanti,” katanya
yang belum menerima panggilan telefon daripada Akhil Hayy sejak Ahad
lalu.
Dia berkata, kesabarannya mendengar pelbagai cerita kurang enak
mengenai suami dan Waheeda dipendam sejak dua tahun lalu selepas
tersebar gosip mereka keluar bersama, ditambah pula cerita pergi
menonton wayang.
“Walaupun pelbagai cerita saya dengar, selagi tiada pengakuan daripada suami, saya anggap perkara itu tidak serius.
“Namun, lama-kelamaan ia menjadi semakin parah apatah lagi dengan
cerita mereka sudah berkahwin. Saya hanya perhatikan dari jauh dan
tidak menyimpan syak hingga suami memohon keizinan untuk mengahwini
penyanyi berkenaan,” katanya.
Maizawati berkata, sepatutnya isu
rumah tangga mereka tidak perlu diperbesarkan kerana dia membuat
keputusan mengundur diri dan mengizinkan Akhil berkahwin dengan
penyanyi itu.
“Saya sudah memberikan lampu hijau untuk suami memperisterikan wanita itu dan keputusan sudah dibuat pada Februari lalu.
“Namun, sehingga kini masih tidak ada jawapan kerana selepas kami
berbincang mengenai perkara itu, suami saya tidak memberi kata putus,
sebaliknya mengatakan untuk berbincang dengan penyanyi berkenaan,”
katanya.
Maizawati menjelaskan dia tidak perlu bersemuka dengan Waheeda kerana menganggap ia hanya akan memanjangkan lagi cerita.
“Buat apa saya nak bersemuka dengan dia? Kalau nak berbincang,
sepatutnya dia datang berjumpa saya sejak pertama kali gosip mereka
disiarkan dan meminta maaf serta jelaskan perkara sebenar kerana dia
dikaitkan dengan suami orang.
“Mengapa baru sekarang dia katakan macam-macam seolah-olah saya yang timbulkan masalah,” katanya.
Sebagai orang yang beragama, kata wanita beranak enam itu, Waheeda
sepatutnya tahu batas pergaulan mereka, terutama dengan menjalin
persahabatan dengan suami orang.
“Dia berkawan dengan suami
saya dan sebagai seorang perempuan dia patut tahu bagaimana membawa
diri tatkala berdamping dengan suami orang,” katanya.
Maizawati
bagaimanapun bersimpati dengan nasib menimpa suaminya kerana berikutan
isu perpisahan itu, imejnya yang terkenal dengan jolokan Ustaz Rock
tercalar.
“Saya kasihan dengan suami saya kerana dia tersepit.
Namun, saya tekad membuat keputusan berpisah kerana ia jalan terbaik
untuk semua pihak dan meyakinkan diri perpisahan bukan bererti
permusuhan buat kami,” katanya.