Pengsan dituduh perempuan sundal
oleh SITI NUR AFZAN KASIMAN
nor.afzan@kosmo.com.my
Ratu Kebaya sebanyak 12 kali, Halimah Shuib, 66, mengaku sembilan lelaki termasuk yang bergelar Tan Sri masuk meminang beliau sejak pertengahan tahun lalu. Bagaimana agaknya beliau menolak godaan lelaki-lelaki pada zaman mudanya?
HALIMAH meniru gaya beliau semasa menjadi Ratu Kebaya dahulu.
Menurut pandangan penulis, pengasas jamu Mak Dara kelahiran Rengit, Batu Pahat, Johor ini masih ‘mengancam’. Dengan tubuh tinggi lampai, sosok ibu beranak enam ini masih ketara.
“Kalau jaga makan, bersenam, cukup tidur dan amalkan petua orang lama, tidak susah hendak kekalkan bentuk badan. Tapi yang lebih penting, badan kekal sihat,” kata Halimah Shuib, pemenang pertandingan Ratu Kebaya sebanyak 12 kali.
Menceritakan detik pertama bergelar Ratu Kebaya, Halimah memberitahu beliau menyertainya ketika berumur 11 tahun.
“Masa itu, saya darjah lima. Pada mulanya saya tak berminat sangat kerana tidak pandai bergaya.
“Tapi bila ada lori masuk ke kampung dan uar-uarkan ada pertandingan Ratu Kebaya untuk kutip derma, keluarga mencadangkan supaya saya mencuba nasib.
“Walaupun baru 11 tahun, tubuh saya besar dan kelihatan lebih dewasa berbanding usia. Kalau tak silap, tinggi saya masa itu sudah lebih 160 sentimeter.
“Seminggu menghampiri hari pertandingan, saya rasa gemuruh. Dah boleh terbayang saya kena berjalan di atas pentas depan ramai orang.
“Untuk pertandingan itu, saya menjahit sendiri baju kebaya. Nak kata pandai menjahit tak juga. Bila tengok fesyen di majalah, saya cuba ikut. Emak pula hadiahkan kasut tumit tinggi dan kain batik jawa,” ceritanya.
Dalam pertandingan yang disertai 23 gadis dari sekitar pekan Rengit itu, Halimah memakai angka giliran 19.
“Lepas seorang, seorang peserta berjalan. Bila tiba giliran saya, orang ramai bersorak menyebabkan saya semakin bersemangat.
“Selepas seminggu, baru keputusan diumumkan dan saya mendapat tempat pertama.
“Hadiah yang saya dapat tidak sebesar pertandingan Ratu Cantik sekarang, lagipun ia dianjurkan untuk mengutip derma,” katanya.
Selepas pertandingan itu, apabila ada pertandingan Ratu Kebaya, Naib Penghulu pekan Rengit pasti mempelawa Halimah untuk bertanding. Kejayaan demi kejayaan menyebabkan beliau dikenali sebagai Ratu Kebaya.
Surat cinta satu almari
Selain beraksi di pentas peragaan, Halimah juga aktif dalam pentas sandiwara dan digelar biduanita kampung ketika itu.
“Saya berlakon pentas dan menyanyi untuk majlis-majlis keramaian yang diadakan di kampung dan sekitar Johor.
“Kenangan yang saya ingat sampai sekarang ialah bila berpeluang menghiburkan peserta rombongan pelakon pentas yang dianggotai P. Ramlee, Sarimah dan beberapa nama besar lain.
“Selesai berlakon, P. Ramlee naik ke pentas dan memberikan hadiah kepada saya. Memang momen itu akan kekal dalam ingatan saya sampai bila-bila,” kenang beliau.
Dengan gelaran Ratu Kebaya dan aktif di pentas keraian, Halimah mengakui beliau diburu ramai lelaki sehinggakan surat-surat cinta mereka tidak mampu dibalas Halimah.
“Selepas nama Halimah Shuib semakin dikenali di negeri Johor, saya dapat banyak surat. Satu almari kayu penuh dengan surat peminat. Setiap minggu, posmen akan bawa tiga ikat surat, hanya untuk saya. Ada yang hendak berkawan, minat dengan lakonan saya dan ramai juga yang ajak berkahwin.
“Ada juga orang kenamaan yang ingin memperisterikan saya, tapi saya pegang kata bapa dan emak, enggang sama enggang, pipit sama pipit.
Pada usia 13 tahun, Halimah berkahwin buat kali pertama. Selepas mendapat seorang anak, suaminya meninggal dunia.
“Hidup sebagai ibu tunggal pada usia belasan tahun tidak mudah ketika itu. Saya aktif semula dalam pertandingan dan arena pementasan sehingga bertemu jodoh untuk kali kedua.
“Selepas memiliki tiga orang anak, saya melupakan pentas peragaan dan menumpukan perhatian terhadap keluarga.
MENANGIS ditinggalkan suami.
“Namun, saya sangkakan panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Suami meninggalkan saya dan enam anak yang masih kecil,” luahnya.
Kehidupan Halimah berubah selepas itu. Demi anak-anak, beliau mencuba pelbagai pekerjaan termasuk berniaga nasi campur.
“Saya pernah berniaga nasi campur di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Perniagaan berjalan baik walaupun banyak cabaran yang terpaksa saya dan anak-anak tempuhi.
“Malangnya gerai saya disita penguat kuasa bandar raya. Habis semua kena angkut termasuk barang basah yang baru dibeli dari pasar bernilai RM650.
“Masa itu memang saya terduduk. Sewa rumah tak boleh bayar, kereta kena tarik dan akhirnya kami dihalau dari rumah sewa.
“Dek kerana tiada tempat nak bermalam, kami menumpang tidur di tepi longkang tuan rumah sewa. Makan pun kena cari dalam tong sampah, minum pun air paip saja,” beliau.
Jadi tukang masak di Genting Highlands
Tidak mahu terus hidup melarat, Halimah menghantar anak-anaknya pulang ke Rengit manakala beliau bekerja sebagai tukang masak di Muslim Café di Genting Highlands.
Dua tahun bekerja di sana, Halimah berhenti dan pulang ke kampung.
“Ramai yang dengkikan saya. Masa saya bekerja di Genting, ada yang kata saya menyundal di atas bukit. Sampaikan ada orang kampung yang datang buat rombongan ke Genting, nak tengok apa pekerjaan sebenar saya.
“Apabila balik bercuti di kampung, emak mula cerita cakap-cakap belakang orang kampung terhadap saya. Bila emak kata dia percaya anaknya cari rezeki halal dan bukan perempuan sundal, saya terus lembik dan pengsan.
“Tak sangka, ada yang sampai hati burukkan nama saya sampai macam itu sekali. Memang tidak mudah menjadi ibu tunggal. Ada saja yang tak kena pada mata orang lain,” luah Halimah.
Kini, bertemankan kekuatan daripada anak-anak, beliau mula dikenali terutama selepas jamu Mak Dara yang diasaskannya mendapat tempat di pasaran.
Bagaimana kehidupan bekas Ratu Kebaya ini sekarang selepas berpuluh tahun hidup tanpa lelaki bergelar suami di sisi?
“Saya dah serik dengan perkahwinan. Setahun saya menangis bila ditinggalkan suami.
“Walaupun ramai ingin berkawan rapat, saya lebih selesa jika berkawan biasa.
“Sejak pertengahan tahun lepas sampai sekarang, sudah sembilan orang yang datang meminang, semuanya berpangkat, ada kedudukan, ada yang bergelar Tan Sri dan Datuk, tapi hati saya belum terbuka hendak berpasangan lagi pada usia begini.
“Biarlah saya mengecapi kebahagiaan ini bersama anak dan cucu saya. Saya takut menangis lagi,” ujar Halimah yang mempunyai 19 orang cucu.