Rambut Lisa cetus masalahLONDON - Seorang pendandan rambut, Lisa Mansour (
gambar)
dihalang daripada memasuki gedung beli-belah eksklusif Harrods setelah
dia menggayakan fesyen rambut ala mohican, lapor sebuah akhbar semalam.
Beberapa pengawal Harrods yang dimiliki jutawan Mesir, Mohamed
Al-Fayed memberitahu Lisa Mansour bahawa fesyen rambut itu menakutkan
pelanggan gedung beli-belah itu.
Lisa memotong rambut gaya itu bagi memperingati cucu jirannya yang mati akibat tumur otak ketika berumur lapan tahun.
Katanya, petugas Harrods tidak menerima penjelasannya kerana fesyen itu dianggap tidak memenuhi etika berpakaian.
"Pengawal keselamatan itu menyatakan rambut saya tinggi lima sentimeter dari kepala dan ia menakutkan orang ramai," kata Lisa.
Menurut pendandan rambut dari Didsbury, Manchester itu, ramai orang
menjelingnya dan insiden tersebut menyebabkan dia marah serta kecewa.
"Saya yakin mereka (pihak pengurusan Harrods) tidak menghalang David
Beckham (daripada memasuki gedung itu) ketika rambutnya mengikut fesyen
mohican," kata Lisa.
Wanita berumur 40 tahun itu berjaya mendapatkan derma sebanyak
£1,300 (RM7,582) untuk tabung kebajikan tumor otak ketika dia bercukur
rambut ala mohican.
Jurucakap Harrods berkata, pihaknya tidak akan meminta maaf kepada Lisa kerana dia tidak memenuhi polisi berpakaian. - Agensi