Latihan meriam
tentera cetus kebakaranKEBAKARAN hutan menyebabkan lebih 300 orang dipindahkan di Marseille, selatan Perancis semalam.
MARSEILLE - Tentera Perancis dilabel 'dungu' selepas satu latihan
bedilan meriam mencetuskan kebakaran yang memusnahkan puluhan buah
rumah dan menyebabkan beratus-ratus orang hilang tempat tinggal, lapor
sebuah akhbar semalam.
Lebih 300 orang dipindahkan dari kediaman masing-masing dekat sini,
selatan Perancis apabila bedilan artileri itu tersasar dan menyebabkan
lebih 400 hektar hutan sekitarnya terbakar.
Lebih 170 anggota bomba yang dibantu beberapa helikopter dan pesawat pemadam api dikerah bagi memadamkan kebakaran.
Susulan insiden tersebut, beberapa komander tentera membuat
permohonan maaf secara terbuka berhubung kesilapan yang tidak
disengajakan itu.
"Kebakaran tercetus akibat kesilapan kami dan kami memohon maaf
kerana ramai orang terpaksa dipindahkan dari rumah mereka," kata
seorang jurucakap tentera.
Bagaimanapun, seorang pemimpin tempatan yang berang dengan kejadian
itu, Michel Sappin melabel pasukan tentera Perancis sebagai dungu dan
mahu pegawai-pegawai tentera yang mengarahkan latihan artileri tersebut
dibicarakan.
"Keluarga saya kini tinggal di sebuah gimnasium gara-gara kesilapan bodoh tentera.
"Mereka seperti tikus membaiki labu," kata seorang penduduk tempatan, Jean Martinez, 48. - Agensi