Lima wanita belasah lelaki dipenjara RAKAMAN kamera litar tertutup
menunjukkan lima wanita membelasah seorang lelaki di luar sebuah pub di
Grimsby pada tahun lalu.
GRIMSBY, England - Rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV)
di sini menunjukkan insiden yang jarang berlaku apabila lima wanita
menendang seorang lelaki sehingga kesan tapak kasut penyerang terdapat
pada muka mangsa, lapor sebuah akhbar semalam.
Kelima-lima wanita itu yang berasal dari sebuah keluarga, menyerang
mangsa, Matthew Campbell, 38, tanpa belas kasihan dengan menendangnya
pada pukul 11 malam, November tahun lalu.
Rakaman serangan ganas selama lapan minit itu yang dirakam CCTV
milik pihak berkuasa tempatan dilihat oleh seorang hakim Mahkamah
Diraja Grimsby yang kemudian memerintahkan kelima-lima wanita berkenaan
dipenjarakan selama enam bulan.
Pendakwa raya, David Cammies berkata, kelima-lima wanita itu, Helen
Barber, Rachel Barber, Kelly Macdonald, Belinda Tomlinson dan Katie
Tomlinson yang berusia di antara 21 hingga 42 tahun menyerang mangsa
tanpa sebab selepas mereka mabuk.
Campbell yang bekerja sebagai seorang pemandu kenderaan komersial
memberitahu, dia berulang kali merayu kepada kumpulan samseng wanita
itu supaya berhenti menyerangnya.
"Saya dididik supaya tidak memukul wanita. Saya memutuskan untuk membiarkan saja mereka memukul saya," kata mangsa.
Lelaki itu bernasib baik kerana tidak cedera parah tetapi seluruh
badannya calar manakala kesan tapak kasut terdapat pada belakang,
kepala dan mukanya. - Agensi