Perompak paling hodoh di BritainMANCHESTER - Mencari perompak bank, David Holyoak, 33, (gambar)
bukan sukar bagi polis Britain kerana suspek dikesan memiliki telinga
yang besar, lapor sebuah akhbar semalam.
Lelaki dari Whitefield di sini, digelar sebagai Shrek iaitu watak
kartun popular yang berwajah hodoh malah wajahnya mudah dicam seorang
petugas sebuah bank selepas merompak dengan beberapa suspek lain.
Dia yang dijatuhkan hukuman penjara tiga setengah tahun oleh sebuah
mahkamah di Bolton kelmarin, disindir seorang pegawai polis kerana
terlalu hodoh untuk melakukan rompakan itu.
"Lelaki ini perlu melihat diri di cermin dan sepatutnya mengetahui
dia tidak layak melakukan perbuatan jenayah," katanya yang menggelar
Holyoak sebagai Shrek selain juga perompak paling hodoh di Britain.
Suspek ditahan bersama dua lelaki setelah merompak seorang pengawal
keselamatan yang menghantar sejumlah wang tunai ke sebuah pejabat pos
di Bury.
Kereta yang dinaiki bersama rakan-rakannya untuk merompak itu terlanggar pokok menyebabkan dia melarikan diri ke sebuah taman.
Dia kemudian ditangkap polis semasa bersembunyi bersama dua rakannya di taman itu. - Agensi