Bakal pengantin fobia lihat lututGAMBAR menunjukkan Sarah dikelilingi oleh kaki kepunyaan beberapa orang yang dikenalinya.
GOSPORT, England - Seorang bakal pengantin perempuan, Sarah Lister
yang fobia melihat lutut kaki berharap akan mengatasi masalah yang
dihadapinya sebelum majlis perkahwinannya berlangsung pada tahun depan,
lapor sebuah akhbar semalam.
Sarah mula menghidap masalah ganjil itu sejak terlihat kaki bapanya terkehel ketika dia berumur 11 tahun.
Wanita yang berusia 25 tahun itu akan kebingungan, marah dan
berpeluh apabila berada di sisi atau menyentuh lutut sesiapa sahaja
yang berada dekat dengannya atau menyentuh lututnya.
Masalah fobia bakal pengantin perempuan itu dikenali sebagai
genuphobia.Sarah yang berasal dari Hampshire di sini berkata, pada musim panas
keadaan dirinya akan menjadi lebih teruk jika dia keluar ke pantai atau
pub.
"Saya akan menjadi risau malah ketakutan jika terlihat seseorang
berpakaian mandi atau berskirt pendek. Saya turut menggigil ketakutan
sekiranya sesiapa cuba menyentuh lutut saya," katanya.
Katanya lagi, masalah fobia dirinya itu tidak akan berlaku jika dia
berada di samping tunang, keluarga kandung dan kawan rapat, berbanding
lutut orang yang tidak dikenalinya.
Sarah percaya masalah fobia dalam dirinya itu semakin berkurangan
pada setiap tahun dan berharap penyakit tersebut pulih menjelang majlis
perkahwinannya pada tahun depan. - Agensi