JOHOR BAHRU: Hanya untuk kelihatan jelita dan nama disebut seluruh
kampung serta disayangi suami, ramai wanita tempatan dipercayai terjerat
dengan menjadikan amalan menghirup sup uri dan lebih mengejutkan, ia
menjadi rahsia pusaka turun-temurun diamalkan sesetengah individu sejak
sekian lama.
Malah, pengambilan sup uri sebagai bahan untuk kelihatan jelita juga
satu amalan alternatif ditawarkan segelintir ‘bomoh kecantikan’ jika
wanita berkenaan enggan memakai susuk berikutan pelbagai pantang larang
perlu dipatuhi atau bakal ditimpa bencana.
Bukan hanya diproses untuk dihirup bersama sup, bagi menambahkan lagi
kemujaraban, uri terbabit juga dikatakan dipuja menggunakan mantera
tertentu sebelum dinikmati wanita yang mahu kelihatan cantik.
Mendedahkan perkara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Sahabat Insan dan
Iman Malaysia (Sidim), Hanafi Abd Malek berkata, beliau pernah
didatangi wanita berusia lewat 50-an mengaku memakan uri semata-mata
untuk kelihatan cantik.
“Memang benar khasiat uri dimakan memang mujarab, walaupun sudah
berusia, dia kelihatan seperti anak dara, malah kulit kelopak matanya
juga masih tegang, tidak seperti wanita lain yang sebaya.
“Bagaimanapun, wanita itu sudah bertaubat dan kini sering dibelenggu
perasaan bersalah kerana sanggup memakan benda kotor semata-mata untuk
mencapai hajatnya.
“Bukan itu saja, dia kini mendakwa loya dan geli setiap kali melihat sup
kerana terbayangkan uri dijamah satu ketika dulu,” katanya.
Katanya, bukan hanya seorang, malah beliau pernah dikunjungi 10 wanita
yang mengaku pernah menghirup sup uri dan semuanya diminta bertaubat dan
kembali ke pangkal jalan. Dalam konteks agama, beliau berkata, hukum
memakan uri adalah haram dan dianggap sebagai memakan daging manusia,
sama sekali ditegah walaupun terbukti berkesan untuk menjadikan
seseorang wanita itu kekal jelita sepanjang masa.
“Amalan memakan uri bukan rahsia bagi kalangan wanita khasnya di Jepun,
Taiwan, Thailand dan Indonesia kerana khasiatnya begitu tinggi, bagi
mereka ia tidak dibuang, bahkan diproses sebagai ramuan dalam industri
pembuatan kosmetik.
“Sepatutnya uri yang bertujuan melindungi dan membekalkan bayi dengan
sumber zat sepanjang dalam kandungan ibu perlu ditanam, bukan digunakan
bagi perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri,”
katanya.
Harian Metro semalam melaporkan segelintir wanita sanggup menghirup sup
dicampur uri untuk kelihatan cantik, malah mereka sanggup berusaha
mendapatkan uri dari pembekal tertentu sebelum menjadikan ‘tembuni’ bayi
itu sebagai hidangan kesihatan.
Amalan menjijikkan itu didedahkan seorang tabib Cina dan lebih
mengejutkan apabila sebahagian besar penggemar uri itu, wanita Melayu.
Selain dimakan segar dan dijadikan hidangan istimewa dalam sup, ada
segelintir wanita mengeringkan uri berkenaan sebelum dijadikan bahan
ramuan masakan kerana kepercayaan mampu mengimbangi hormon selain dapat
mengeratkan hubungan ibu dan anak.
~hmetro