Imej raksasa misteri dirakamIMEJ dirakamkan yang menunjukkan seekor makhluk misteri (dalam bulatan) berenang di Tasik Killarney, Ireland.
DUBLIN - Saintis British percaya mereka telah menemui seekor raksasa
misteri yang mendiami sebuah tasik di Taman Negara Killarney di barat
daya Ireland, lapor sebuah akhbar semalam.
Makhluk gergasi itu dijumpai oleh Jonathan Downes, 50, yang
merupakan Pengarah Pusat Zoologi Fortean di Devon, England ketika
bercuti bersama isteri di Tasik Killarney pada minggu lalu.
Ia dilihat di Upper Lake, salah satu daripada tiga tasik di kawasan
itu dan Downes bersama seorang rakannya secara kebetulan merakamkan
kelibat raksasa itu bergerak.
Misteri makhluk itu pernah didedahkan beberapa tahun lalu oleh
saintis yang menemui rakaman sonar menunjukkan satu lembaga besar di
Muckross Lake, tasik terbesar di taman itu.
Menurutnya, dia melihat satu leher panjang dan badannya yang berbonggol di tasik itu.
Downes yang merupakan pengkaji spesies haiwan aneh menggambarkan
makhluk tersebut seperti belut dengan leher kurus dan mungkin setinggi
tiga meter.
Timbalan Pengurus Wilayah Perkhidmatan Mergastua dan Taman Negara,
Pat Foley berkata, penemuan makhluk itu pernah direkodkan enam tahun
lalu di Muckross Lake. - Agensi