Jangan sekat batik MalaysiaOleh NURUL IZZA ROSLY dan SUHANA VERU
berita@kosmo.com.my
BATIK corak kontemporari Malaysia
bukan sahaja jauh berbeza dengan Indonesia tetapi sudah diperkenalkan
di pentas dunia sehingga menjadi pakaian rasmi gadis litar Formula 1.
KUALA LUMPUR - Jika Indonesia kini bersiap-sedia meraikan keputusan
Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu
(UNESCO) yang dijangka menyenaraikan batik republik itu sebagai warisan
budaya dunia, pengusaha fabrik tersebut di Malaysia pula tidak mahu
keputusan itu menjejaskan industri tersebut di negara ini.
Ramai pakar dan pengusaha batik di Malaysia berpendapat, walaupun
batik berasal dari Indonesia, ia telah melalui banyak transformasi yang
diadaptasi daripada persekitaran dan masyarakat negara lain.
"Batik kini bukan lagi milik mereka (Indonesia) sepenuhnya,'' kata
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu International Design Excellence
(TIDE), Prof. Madya Sulaiman A. Ghani ketika dihubungi semalam.
Laporan agensi berita asing semalam memetik kenyataan Presiden
Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono yang meminta rakyatnya memakai
batik esok untuk meraikan pengiktirafan UNESCO itu yang hanya akan
dibuat minggu ini.