Pondan Jepun dinobat tercantik duniaHARUNA AI (kiri) dipakaikan mahkota kemenangan oleh pemenang 2007, Tanyarat Jirapatpakon di Pattaya
kelmarin.
PATTAYA - Seorang hos televisyen di Jepun, Haruna Ai menitiskan air
mata apabila dimahkotakan sebagai pondan tercantik dunia di sini sekali
gus menewaskan pondan tuan rumah yang sebelum ini terkenal dengan
kejelitaan mereka.
Ai, 37, mengetepikan cabaran sengit 20 peserta lain termasuk dari
Brazil, China, Singapura dan Amerika Syarikat (AS) dalam pertandingan
Miss International Queen 2009 yang berlangsung di Pattaya iaitu pulau
peranginan popular di Thailand.
"Saya amat, amat, amat gembira. Pondan di Thailand lebih bernasib
baik kerana diterima masyarakat tidak seperti di negara kami (Jepun),"
kata Ai yang tidak dapat menahan air mata selepas tiara pertandingan
itu dipakaikan ke kepalanya.
Menurutnya, dia berharap agar orang ramai saling sayang menyayangi dan dapat menerima golongan itu tanpa sebarang prejudis.
Ai memenangi wang tunai AS$10,000 (RM34,125), penginapan selama
setahun di sebuah hotel Pattaya dan baucar pembedahan kosmetik berharga
AS$500 (RM1,700) selepas menewaskan dua naib johan iaitu peserta tuan
rumah Karngsadal Wongdusadeekul, dan wakil Brazil, Daniela Marques.
Di Thailand, pertandingan ratu cantik melibatkan pondan dianggap serius seperti acara-acara tradisi lain.
Pertandingan yang berlangsung kelmarin itu disiarkan menerusi televisyen dan ditonton oleh berjuta-juta rakyat negara itu. - AFP