Peragut wanita terima padahOleh SHAH NIZAM OMAR
shahnizam.omar@kosmo.com.my
|
HAMIDAH bersama anaknya, Afza Adlina yang diragut rantai emas di lehernya di Kota Sarang Semut, Alor Setar semalam.
|
ALOR SETAR - Peragut biasanya dikaitkan dengan lelaki, tetapi
semalam, seorang wanita berusia 45 tahun ditangkap di pasar sehari,
Kota Sarang Semut kerana meragut rantai emas seorang kanak-kanak
berumur 3 tahun.
Menurut beberapa peniaga di situ, kegiatan wanita tersebut telah
lama diperhatikan sejak dilihat sentiasa berada di sekitar kawasan
tersebut.
Ibu kanak-kanak terbabit, Hamidah Ishak, 46, berkata, rantai leher
anaknya, Afza Adlina Ibrahim diragut ketika sedang berbelanja di pasar
sehari.
"Beberapa peniaga di situ memberitahu yang rantai anak saya diragut kira-kira pukul 11.15 pagi.
"Memang saya tidak sedar kerana orang terlalu ramai dan anak saya
tidak pula menangis," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis
Daerah Kota Setar di sini.
Hamidah menambah, sebaik melihat rantai milik anaknya yang bernilai
RM360 itu lesap, peragut wanita berkenaan telah pun ditangkap oleh
peniaga di situ.
"Semasa ditangkap, dia (suspek) terus membuang rantai itu dan mendakwa tidak mencuri rantai anak saya," katanya.
Beliau difahamkan, wanita terbabit telah beberapa kali disyaki mencuri di situ tetapi sering kali terlepas.