Ibu bangga anak akui jadi pelacur
|
BROOKE
|
NEW YORK - Susan Levy berasa bangga kerana anaknya yang merupakan
seorang saintis, Dr. Brooke Magnanti mengaku pernah menjadi pelacur
baru-baru ini, lapor sebuah akhbar semalam.
Ibu Brooke itu yang kini menetap di sebuah rumah ladang sederhana
dekat Syracuse di sini berkata, pada mulanya dia terkejut apabila
mendapat tahu anak tunggalnya itu membuat pengakuan tersebut.
Levy, 64, berkata, anaknya merupakan seorang penulis hebat dan gemar
menulis sejak di zaman kanak-kanaknya namun berasa terperanjat apabila
Dr. Brooke mengaku dia menulis mengenai pengalamannya sebagai pelacur
dengan menggunakan nama samaran Belle de Jour di laman blog pada 2003
hingga 2004.
Pada Ahad lalu, sebuah akhbar menyiarkan wawancara dengan Brooke
yang mengaku dia merupakan penulis diari di Internet yang menceritakan
kisah mengenai dunia pelacuran.
Dia yang kini berkerja di sebuah makmal di Bristol, England mengaku
menjadi wanita teman sosial dengan bayaran £300 (RM1,697) untuk satu
sesi seks bagi mencari wang untuk menyiapkan tesis kedoktoran pada 2003
di London.
Kisahnya itu kemudian dibukukan dengan judul
The Intimate Adventures of a London Call Girl yang laris dijual.
Satu siri drama televisyen lakonan pelakon terkenal, Billie Piper yang berjudul
Secret Diary of a Call Girl diterbitkan berdasarkan kisah buku itu.
Levy berkata, anaknya yang mendapat pendidikan di sebuah sekolah
Katholik di Florida sebelum berpindah ke Britain, pernah menelefonnya
pada minggu lalu bagi menceritakan isu tersebut. - Agensi