Ritual mandi bertapakSEJAK zaman-berzaman, silat menjadi keperluan dalam mempertahankan diri.
PESAN guru silat, jangan ditepuk susu di dulang, anak harimau tak
dapat menyusu, janganlah pecah rahsia hulubalang, nanti harimau hilang
kuku.
Pantun di atas jelas memperlihatkan betapa seni mempertahankan diri cukup kuat bersendikan adat dan berpayungkan agama.
Oleh kerana itu jugalah, setiap langkah dan upacara yang terdapat di
dalam seni silat gayong mempunyai pelbagai simbolik dan perlu difahami
oleh penuntutnya.
Bagi penuntut baru, terdapat upacara tertentu yang harus mereka
lalui sebelum ditauliahkan menjadi anak murid seni silat ini iaitu
mandi bertapak.
Menurut Timbalan Presiden 1, Persatuan Seni Silat Gayong Kuala
Lumpur, Abdul Rais A. Rahman, mandi bertapak merupakan acara pertama
yang harus ditempuhi oleh mereka yang ingin belajar silat.
"Setiap langkah dalam ritual ini merupakan simbolik kepada
kesungguhan seseorang itu hendak mempelajari seni mempertahankan diri
ini," ujar guru silat berusia 44 tahun ini.
Bahan-bahan yang digunakan untuk ritual ini di samping doa, melambangkan intipati kehidupan yang harus penuntut lalui.
"Semua doa itu adalah berlandaskan ayat-ayat suci al-Quran yang
diniatkan sebagai pendinding daripada gangguan syaitan," ungkapnya
tenang.
Lengkap dengan persalinan baju Melayu hitam dan bersamping, Abdul
Rais tekun menunjukkan bahan-bahan yang digunakan dalam adat mandi
bertapak.
Akar sintokGURU silat yang berpengalaman mampu membaca firasat melalui limau nipis yang dipotong.
Limau nipis, akar sintok, bertih beras, garam, asam jawa dan pisang emas tersusun dalam urutannya di dalam sebuah dulang.
"Limau nipis dan akar sintok adalah simbolik untuk membersihkan tubuh dan minda daripada sebarang kekotoran.
"Tindakan memotong atau lebih dikenali sebagai melukakan limau pula akan menterjemahkan sifat penuntut silat berkenaan.
"Ia bukan meramal tetapi lebih kepada pengalaman guru silat tersebut dalam membaca perilaku anak muridnya nanti.
"Dengan itu, guru tersebut dapat membuat persediaan seperti
bagaimana untuk berhadapan dengan muridnya yang panas baran," kata
Rais.
Pada zaman dahulu, cerita Rais, sekiranya bahagian limau nipis yang
dipotong itu masuk di dalam gelungan akar sintok, guru tersebut akan
mengambil pelajar itu sebagai anak angkat.
Namun, keadaan potongan limau nipis yang sebegitu amat jarang berlaku dan seringkali memberi petanda yang baik.
"Baik di sini membawa maksud pelajar itu mempunyai bakat yang tinggi dalam ilmu persilatan.
"Mereka juga mudah belajar dan senang dibentuk menjadi pesilat yang terbaik," ujarnya sambil menunjukkan cara memotong limau nipis tersebut.
Menyentuh mengenai bahan-bahan lain untuk upacara mandi bertapak,
asam jawa, bertih, garam dan pisang emas akan dijamah oleh penuntut
selepas upacara melukakan limau. Ia adalah simbolik kepada rencah
kehidupan yang akan dilalui oleh mereka sama ada di dalam atau di luar
gelanggang.
Sebagai penyudah kepada ritual ini, penuntut dikehendaki mandi
menggunakan air yang telah dicampur limau nipis. Menariknya, air
mandian tersebut akan dicampur dengan air yang diambil dari kawasan air
terjun.
|
RAMUAN utama dalam ritual mandi bertapak iaitu limau nipis, akar sintok, pisang emas, garam, bertih beras dan asam jawa yang menjadi simbolik kepada asas kehidupan.
|
Jelas Abdul Rais, orang dulu-dulu percaya air yang diambil dari
kawasan air terjun lebih bersih berbanding air telaga atau sungai.
Pelajar yang telah melalui ritual ini layak mempelajari seni
mempertahankan diri itu iaitu bersilat dan bertempur dengan tangan
kosong atau tanpa senjata.
Mereka juga tidak boleh melanggar ikrar gayong iaitu taat kepada
Tuhan, ibu bapa, guru dan sultan. Kata Abdul Rais, mereka yang
melanggar ikrar harus berpuasa selama tiga hari.
"Ia bukan sebagai hukuman tapi lebih kepada ingatan kerana mahu mengajar murid silat agar tidak mengambil mudah ikrar gayong.
"Lagipun, berpuasa itu mampu menyucikan diri, membuatkan kita
kembali kepada fitrah," katanya yang merupakan kumpulan generasi ketiga
murid seni silat gayong yang diasaskan oleh guru silat, Datuk Meor
Abdul Rahman.