Disaman kerana slogan tiru tajuk filem PURCELL (kanan) dan Dunne terkejut slogan syarikat mereka didakwa sebagai meniru tajuk sebuah filem.
SEBUAH syarikat pemasangan peti sejuk dan pendingin hawa di Britain
menerima padah gara-gara cuba menggunakan slogan perniagaan yang mirip
satu tajuk filem James Bond, lapor sebuah akhbar semalam.
Disebabkan slogan Licence to Chill yang hampir menyerupai tajuk
filem Licence to Kill, pengeluar sekuel James Bond iaitu MGM mengancam
menyaman syarikat 007 Refrigeration & Air Conditioning yang telah
beroperasi sejak enam tahun lalu.
Mereka terpaksa menukar nama kepada 700 Refrigeration & Air
Conditioning setelah menerima surat peguam MGM pada 11 Januari lepas
dan diberi tempoh 14 hari untuk berbuat demikian.
Pengarah syarikat itu Mick Purcell, 36, dan rakan kongsinya Robert
Dunne, 37, terkejut dan marah dengan tindakan MGM yang dianggap sebagai
membuli syarikat-syarikat kecil.
“Mereka (MGM) menganggap seolah-olah kami cuba menyamar sebagai
James Bond, walhal semua orang pun tahu Bond bukan pakar pendingin
hawa,” kata Purcell.