Jari bekas model dipotong
|
FIORE
|
|
JENKINS
|
LOS ANGELES – Tidak puas dengan membunuh, seorang bintang siri
realiti televisyen, Ryan Jenkins dipercayai turut memotong semua jari
dan mencabut gigi bekas isterinya, Jasmine Fiore, lapor sebuah akhbar
semalam.
Jenkins yang merupakan peserta siri realiti Megan Wants a
Millionaire dilaporkan bertindak kejam bagi menyukarkan polis mengenal
pasti identiti mayat mangsa.
Lelaki berusia 32 tahun itu kini menghilangkan diri sejak mayat
Fiore yang dimasukkan ke dalam sebuah bagasi ditemui berada dalam
keadaan bogel dalam sebuah tong sampah di daerah County Orange, negeri
California pada Sabtu lepas.
Polis Amerika Syarikat (AS) mengenakan dakwaan terhadap Jenkins walaupun tanpa kehadirannya di mahkamah.
Menurut polis, selepas penggambaran siri realiti itu berakhir pada
Mac lepas, Jenkins bertemu Fiore yang merupakan bekas model Playboy
ketika berkunjung ke sebuah kasino di Las Vegas dan mereka seterusnya
berkahwin.
Bagaimanapun, perkahwinan itu dibatalkan beberapa minggu kemudian.
Pihak pendakwa raya berkata, pasangan itu menginap di sebuah hotel di bandar San Diego pada minggu lalu.
Jenkins meninggalkan hotel itu sebelum mayat Fiore, 22, ditemui pihak berkuasa.
Laporan awal bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat dicekik.
Setakat ini, polis percaya Jenkins yang turut memiliki lesen
penerbangan memandu sejauh 1,600 kilometer ke negeri Washington sebelum
menaiki bot untuk pergi ke sempadan Kanada.
“Walaupun kami percaya dia telah melintasi sempadan, kami masih
belum 100 peratus yakin mengenainya. Kami akan memburunya,” kata
seorang pegawai polis, Thomas Hession. – Agensi